Politeknik Kuching Sarawak - Google Blog Search

Politeknik Kuching Sarawak - Google Blog Search


Jabatan Pendidikan <b>Politeknik</b> Malaysia kini diletak di bawah KPT <b>...</b>

Posted: 12 Aug 2015 03:23 PM PDT

KUCHING: Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia kini diletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kata Pengarah Bahagian Pembangunan Dasar Shahbudin Man.

Menurutnya walau di mana sekalipun Jabatan Pendidikan Politeknik bernaung, visinya tetap sama iaitu sebagai penjana utama modal insan inovatif melalui pendidikan dan latihan transformasional bagi memenuhi keperluan tenaga kerja global menjelang 2015.

"Ekoran rombakan kabinet pada 28 Julai lepas, Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia yang dahulunya bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekarang diletakkan pula di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan ia merupakan pengiktirafan kepada seluruh politeknik di negara ini dan sejajar dengan program-program pengajian yang ditawarkan," katanya.

Tambahnya, sekiranya dahulu terdapat masyarakat kurang yakin dengan kemampuan politeknik dalam melahirkan graduan berkualiti namun pada masa kini persepsi sedemikian sudah beransur-ansur berkurangan.

Jelasnya lagi, pelaksanaan dua pendekatan jangka panjang diperkenalkan KPM telah berjaya melonjak dan menempatkan nama politeknik sebaris dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan latihan TVET hingga ke peringkat diploma.

"Pertama, transformasi politeknik yang telah dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia pada 25 Februari 2010.

"Kedua, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 April 2015.

"Agenda utama program transformasi politeknik adalah penonjolan imej baharu politeknik mengikut kemampuan, sementara PPPM (PT) pula merupakan kesinambungan daraipada program transformasi tersebut melalui langkah pemerkasaan secara menyeluruh selari dengan trend pasaran buruh tempatan dan juga global," katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Politeknik Kuching Sarawak (PKS) di sini, semalam.

Tambahnya yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia Datuk Mohlis Jafaar, fasa satu dan fasa dua transformasi institusi tersebut memfokuskan kepada penjenamaan semula dan peningkatan kualiti serta melibatkan penstrukturan semula di semua peringkat.

"Sama ada di jabatan atau politeknik yang merangkumi program pengajian, struktur, kualiti dan tadbir urus, ia telah membawa lonjakan yang amat memberangsangkan," katanya.

Ujarnya lagi, pada tahun pelancaran Transformasi Politeknik (2010) sebanyak tiga politeknik terlibat iaitu Politeknik Ungku Omar Perak, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Selangor dan Politeknik Ibrahim Sultan Johor.

"Dengan kenaikan taraf tersebut, maka kelayakan masuk ke tiga politeknik tersebut sama dengan kelayakan masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Perubahan taraf juga membolehkan politeknik tersebut menawarkan program pengajian ke peringkat diploma lanjutan.

"Kejayaan dan kemampuan ketiga-tiga politeknik premier tersebut semakin menyerlah apabila ketiga-tiganya mula menawarkan program pengajian dalam bidang tertentu mengikut kemampuan masing-masing hingga ke peringkat sarjana muda mulai ambilan September 2013," jelasnya.

Selain tiga politeknik premier tersebut, Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan juga akan menawarkan program pengajian berkembar peringkat sarjana muda dengan Universiti Sains Malaysia (USM) mulai sesi September akan datang.

Daripada aspek pengiktirafan serantau pula, tujuh  politeknik telah dianugerahkan Pingat Emas oleh Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasiafik (APAAC), sebuah badan kreditasi di bawah 'Colombo Plan Staff College For Technician Education' yang berpangkalan di Manila sejak 2014.

"Politeknik tersebut ialah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Politeknik Seberang Prai, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah."

Dengan pemerkasaan peranan dan kualiti program pengajian dengan pengolahan semula kurikulum dengan berorientasikan kehendak semasa pihak industri di samping langkah mempergiatkan lagi kolaboratif dengan sektor tersebut, "Politeknik diyakini mampu menjadi penjana utama tenaga kerja yang memiliki pelbagai kemahiran iaitu dilengkapi degan kemahiran teknikal yang tinggi serta kemampuan untuk berkomunikasi dengan efektif dan berkeyakinan."

Menyentuh mengenai bilangan graduan PKS, jelasnya terdapat seramai 21,739 graduan dalam pelbagai disiplin pengajian sejak kali pertama diadakan pada 1993.

Pada Majlis Konvokesyen Ke-23 ini jelasnya, seramai 896 graduan akan menerima skrol diploma masing-masing.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 268 dianugerahkan diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, 200 (Kejuruteraan Awam), 108 (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), 81 (Elektrik dan Elektronik), 76 (Petro Kimia), 95 (Perakaunan) dan 69 (Pengajian Perniagaan).

"Ini bermakna 87.96 peratus daripada graduan yang dianugerahkan diploma adalah lulusan kejuruteraan manakala 12.04 peratus lagi adalah dalam bidang perniagaan," ujarnya.

Daripada aspek bilangan graduan mengikut jantina pula, bilangannya hampir seimbang iaitu seramai 466 graduan lelaki dan 430 graduan wanita.

Print Friendly
0 Comment for "Politeknik Kuching Sarawak - Google Blog Search"